Eintan Nurfuzie | Lifestyle, Beauty, Travel, Tips & Rawatan Kucing & Review: Gunung Irau

Showing posts with label Gunung Irau. Show all posts
Showing posts with label Gunung Irau. Show all posts

Gunung Irau 6 : Kami Berjaya Tawan !!


Gunung Irau 6 : Kami Berjaya Tawan !! | Berbaki 750 meter lagi dari Mini Irau ke Puncak Gunung Irau tapi cik en mengambil masa 2 jam 30 minit juga untuk habiskan. Kalau tempat cik en jogging, 750 meter ini tak sampai 10 minit dah selesai. Pendakian di perjalanan ini agak mencabar. Disini cik en sudah mula tiada mood untuk bergambar kerana badan mula penat ditambah kaki yang injured. Tapi semangat masih berkobar kobar.

Kali ini jalan ada yang berbatu dan ada yang perlu menggunakan kekuatan tangan untuk memanjat. Dan jangan terkejut, masa kami datang, orang terlalu ramai dan untuk naik pun kena tunggu giliran sampaikan ada yang kata perlu ambil nombor.hahah.. Yang mana nak naik perlu beri peluang kepada pendaki yang turun kerana jalan di bahagian atas sesak dengan orang yang ramai. Dalam 10 minit juga la kena menunggu. Nampaknya hujan rintik dan membasahi bumi. Dalam hati ini mula rasa risau sebab mengikut ramalan cuaca, petang di kawasan gunung ini akan hujan lebat. Tidak sampai 10 minit, hujan berhenti dan cik en sempat ambil gambar suasana berkabus. 


Cik en sudah mula rasa yang cik en akan tidak dapat melihat permandangan yang cantik bila sampai puncak nanti. Tapi kena akur dengan takdir Allah kan (sedih rasanya), cik en berharap ada geng cik en sempat merakam memori permandangan sebelum hujan. Berjaya ke geng cik en itu? Kita teruskan dan tengok berjaya tidak. Tapi sebelum itu cik en sempat rakam keadaan berkabus ini


Selepas sahaja melalui kawasan diatas, cik en melalui kawasan berlumut yang cantik. Ada yang cakap, malam malam lumut kawasan ini akan bercahaya tau! Tapi sebab cik en tidak sampai ke malam, tak dapatlah cik en nak buktikan.



Dalam beberapa meter lagi cik en akan sampai ke puncak.. Yepiii... Hilang rasa penat dan injured. Dan apa yang cik en fikirkan memang betul, cik en tidak nampak pemandangan langsung sebab dipenuhi kabus. Nasib Kak Zulia sempat menangkap gambar sebelum hujan. Lebih kurang jam 1.53 petang cik en berjaya juga cik en sampai ke puncak harapan... ops.. puncak Gunung Irau



Tiba masa untuk sapadek. Walaupun menunya tidaklah sesedap mana, Nasi, telur rebus dan ikan sardin, tapi... ianya cukup menyelerakan. Thanks buat Kak Zulia yang kelakang kelekung pagi buta untuk sediakan...


Tapi kan.. kerana sa..ngat penat, cik en hanya makan suku dari bekalan ini. Disebelah kami, ada sekumpulan anak anak muda yang masak maggi. "Amboi.... sedap sungguh kalau dapat makan maggi saat ini". Itulah yan terkeluar dari mulut kami. Hahahah.. sampaikan berangan turun nanti nak makan maggi. Hahaha..



Muka kepenatan semuanya. Tapi kami puas mendaki walaupun pertama kali naik gunung. Alhamdulillah diberi peluang melihat kebesaran Allah. Dan lupa cik en nak cerita, puncak ini masa kami sampai orang terlalu ramai tau! So tak dapat cik en nak kongsi video disekeliling puncak ini macam di Mini Irau.


Selesai berselfie, lebih kurang 2.30 petang kami perlu turun untuk mengelakkan sampai ke pintu masuk Mossy Forest malam. Tapi cik en mengambil masa lebih kurang 6 jam dan lewat 1 jam lebih dari pendakian. Kenapa? Kena baca entri ini sam..pai habis

Mulanya kami turun dari puncak Gunung Irau dengan tiada masalah dan sempat selfie di kawasan checkpoint bonzai yang tadi dipenuhi oleh orang ramai





Selesai selfie kami turun dan kesemuanya nampak baik pada awalnya. Tapi selepas Mini Irau, cik en mula rasa letih, kaki sudah mula tidak kuat tapi masih bersemangat untuk habiskan. Banyak kali berhenti untuk minum dan makan power bar



Kaki cik en nampaknya dah mula sakit tahap maksimum. Setiap 10 langkah cik en berhenti. Jadi perjalanan cik en semakin lama semakin lambat dan dalam hati kami, kami berharap sempat sampai sebelum malam. Tapi... ianya tidak sama yang diharapkan. Jam 6.30 malam, hujan mula turun. Suasana menjadi sejuk dan kabus tebal. Semua itu buat cik en makin lemah dan penat. Masa ini hanya Allah sahaja yang tahu perasaan cik en. Hari semakin gelap, hujan masih belum berhenti. Sampailah cik en dan Anis tidak nampak jalan kerana gelap dan berkabus. Kena berjalan perlahan lahan kerana tanah berlecak teruk dan kayu kayu dipijak licin. Nasib cik en bawa lampu tapi malangnya kabus yang tebal buat kami tetap tidak nampak jalan. Hanya melaungkan nama geng cik en di hadapan saja bila kami mula tidak nampak jalan sepatutnya. Kami berinteraksi dengan laungan dan lampu sahaja. Kerana permukaan bumi yang tidak rata buat kami perlu mendaki dan menurun kayu, batu beberapa kali. Penatnya sampaikan kena tarik seluar naikkan kaki untuk memanjat.Tenaga semakin berkurangan setiap langkah. Manalah tangga kayu yang? Kami dah mula keletihan sangat.. 

Alhamdullilah... akhirnya lebih kurang jam 8.15 malam, kami berjumpa juga dengan tangga kayu. Itulah tanda yang kami dah sampai ke penghujungnya. Tapi kerana terlalu letih, cik en tidak boleh menaiki tangga. Terasa jauh sangat . Cik en gagahkan diri dan akhirnya perlahan lahan kami berjalan. 8.30 malam lebih kurang kami sampai pintu masuk Mossy Forest. Sampai je, cik en terpaksa minta Megat Rosman bawa abang barney ke pintu masuk Mossy Forest. 

Walaupun kaki cik en injured , cik en tetap bertegas nak memandu abang barney. Selesai bawa masuk barang ke dalam kereta, kami mula turun dan menukar baju di Mall Nova. Satu lagi cabaran, lampu spotlight yang dipasang tetap tidak jelas kerana kabus yang tebal. Perlahan lahan cik en memandu sambil dibantu oleh kak Zulia melihat lubang lubang di sepanjang jalan. 

Alhamdulillah, sampai kami di jalan utama Cameron Highlands. Selesai menukar baju, kami makan di medan selera di dalam mall tersebut. Disebabkan kelaparan, cik en order Briyani dan tengok macamna buruknya cik en makan .. ahhaha


Semuanya berakhir dengan selamat dan kami lewat 3 jam 30 minit dari tentatif asal. Kami bergerak turun ke Simpang Pulai dalam pukul 10 malam dan kerana keletihan sangat, cik en menumpang tidur di rumah Kak Zulia di Tronoh. Bangun pagi keesokan harinya, cik en sakit badan yang teramat sangat terutama bahagian kaki. Sampaikan nak duduk pun menjerit kesakitan. Sampaikan saat cik en menulis entri ini, kaki cik en masih lagi sakit lagi da kesan lebam tak perlu cik en nak cerita. Memang banyak

Tapi... walaupun sepanjang perjalanan, dalam hati terasa serik nak hiking, tapi tak sampai 2 hari, dah  mula plan nak hiking gunung yang lain. Memang gian aktiviti hiking ni yek? hahahahahah

Entri sebelum ini 
Gunung Irau 4 : Pendakian Sangat Mencabar
Gunung Irau 5 : Anak Irau atau Mini Irau 
Gunung Irau 6 : Kami Berjaya Tawan !!
5

Gunung Irau 5 : Anak Irau atau Mini Irau


Gunung Irau 5 : Anak Irau atau Mini Irau | Dulu kawasan ini dipanggil Anak Irau tapi sekarang dipanggil Mini Irau. Daripada Pintu Masuk Mossy Forest ke Mini Irau ini adalah 1.4 km. Cik en sampai sini pada 11.30 pagi. Cik en ambil masa 2 jam 30 minit dan geng cik en yang lain sampai 30 minit lebih awal. Sambil berehat, cik en dan yang lain lain selfie dan rehatkan diri sebelum memulakan perjalanan. 



Kawasan ini rata dan memang sesuai untuk berehat sebentar sebelum meneruskan perjalanan. Dan kerana line telefon H+++, cik en cuba untuk buat Go Live di Facebook. Cik en downloand dan upload di youtube untuk kongsi kepada yang lain lain. Masa ini cik en masih semangat lagi tau! Seluar pun kalau yang perasaan dah bertukar sebab insiden seluar koyak.


Masih ada berbaki 750 meter sebelum sampai ke puncak Gunung Irau atau Ibu Irau ataupun Mt Irau. Tapi masa yang cik en ambil 2 jam 30 minit juga. Pendakian selepas Mini Irau ini agak mencabar dan perlu memanjat batu yang tinggi dengan berbekalkan tali sahaja. Tunggu entri seterusnya untuk tengok berjaya tidak cik en dan yang lain lain menawan Puncak Gunung Irau sedangkan kaki cik en yang lebam disebabkan terkena tunggul kayu mula terasa sakitnya.

Entri sebelum ini 
Gunung Irau 4 : Pendakian Sangat Mencabar
Gunung Irau 5 : Anak Irau atau Mini Irau
2

Gunung Irau 4 : Pendakian Yang Mencabar


Gunung Irau 4 : Pendakian Yang Mencabar | Mesti ada yang tidak sabar menunggu entri ini kerana inilah cabaran awal trip Gunung Irau ini. Masih ingat entry Gunung Irau 3 : Pintu Masuk Mossy Forest yang kami terlupa untuk stretching? Tahu kan tanpa stretching sebelum mendaki, kami boleh injured atau kejang kaki (kream). Jom kita layan trip ini seterusnya

Kerana excited untuk mendaki, masing masing seakan terlupa untuk warming up atau stretching. Itulah kesilapan awal kami. Masuk sahaja pintu masuk, kami jumpa dengan tangga kayu dan ada signboard Perak dan Pahang. Rupanya hutan ini bersempadan dengan Perak dan Pahang. Dan di sepanjang laluan, ada pondok pondok kecil. Jadi kami yang mulanya terlupa untuk stretching , kami double check barangan dan stretching. Haha... kami stretching juga sebenarnya.




Selesai semuanya, lebih kurang jam 8.52 pagi, kami meneruskan perjalanan. Tanpa kami (mungkin cik en sahaja kot) sedar , pendakian ini memerlukan kekuatan mental yang sangat kuat beserta stamina yang fit kerana Gunung Irau merupakan gunung dikedudukan di tangga ke 15 Gunung di Malaysia. Dipenghujung tangga kayu ini, kami memulakan cabaran pendakian. Memang kena la nama hutan ini Hutan Berlumut, semuanya berlumut, dari pokok, akar-akar, malah tanah pun berlumut juga. 








Perhatikan setiap gambar diatas, cik en tak tipukan yang kesemuanya berlumut. Nampak juga yang keadaan tanah lembab dan ianya memang keadaan asal kawasan ini. Walaupun tidak hujan, terlalu banyak "choclate moist" dan tidak sah kalau seluar, tangan baju dan tudung berlemuih dengan lumpur tanah ini. Dan dinasihatkan tolong lah pakai sarung tangan, jangan jadi seperti cik en, ada sarung tangan tapi malas nak pakai. Jadilah tangan comot dibawah ini


Pendakian walaupun 800 meter, sudah rasa letih juga kerana perjalanan kami bukannya mudah, kami perlu memanjat, menurun, menarik dan sebagainya. Keadaan muka bumi ini seperti beralun. Naik turun naik turun. Dan juga sebelum memaut sesuatu, pastikan apa yang dipaut seperti akar kayu atau batang kayu kukuh sebabnya ada yang tidak kuat. Salah tarik, boleh jatuh dan injured . 


Sebelum melangkah juga pastikan tempat dipijak kukuh sebabnya ada yang lembut tapi ditutupi oleh lumut. Kayu untuk kita panjat pun kena hati hati sebabnya kayu disini memang licin. Jadi penggunaan kasut perlu bersesuaian. Kasut untuk hiking atau kasut nyonya. Ingat tak entri sebelum ini cik en cerita yang seluar cik en terkoyak? sebelum sampai Anak Irau / Mini Irau, cik en memijak tanah lembut yang ditutupi lumut. Kebetulan ditepi ada tunggul kayu. Jalan jalan dan terbenamlah dan peha sebelah kanan telah terkena tunggul kayu, seluar cik en terkoyak sedikit tapi cik en dapat rasa yang peha cik en dah luka dan mula lebam. Nasib baik cik en bawa seluar ganti, apa lagi, sarung saja. Kalau tidak, rasanya cik en tidak dapat teruskan. Kebetulan cik en bersama rakan megat, Azman jadi dia membantu cik en. Dan sebenarnya, masa kami daki, memang ramai pendaki. Jadi suasana tidaklah sunyi dan bahaya. Sepanjang perjalanan juga ada batu sempadan Pahang Perak dan ianya adalah guide untuk kami selain tanda ikatan dan sighboard.

Rasanya panjang dah entri cik en yang ini, cik en rehatkan dulu la ye, dan terpaksalah kita sambung untuk entry yang seterusnya. Boleh tak? hihi. Entri seterusnya cik en akan bercerita mengenai Mini Irau atau sebelum ini dikenali Anak Irau. 

Entri sebelum ini 
Gunung Irau 4 : Pendakian Sangat Mencabar
9

Gunung Irau 3 : Pintu Masuk Mossy Forest


Gunung Irau 3 : Pintu Masuk Mossy Forest | Gunung Irau adalah gunung yang pertama cik en daki. Sebelum ini cik en hanya mendaki bukit bukit di sekitar Manjung Perak. Kerana tertarik dengan Mossy Forest membawa cik en mendaki Gunung Irau ini. Perancangan dirancang bersama kawan cik en iaitu Anis. Kerana berdua, cik en bertanya kepada Megat Izudin, kawan satu jabatan di Ipoh yang selalu join hiking dan bermula dari situ, masing masing mencari kawan kawan lain yang berminat dan dapat mengumpul seramai 11 orang. Kami memilih 7 Mei 2016 untuk mendaki. Seperti yang cik en pernah ceritakan di entri sebelum ini, permit perlu mohon selewat lewatnya 2 minggu sebelum pendakian.

Ini tentitif yang ditetapkan oleh Megat Izudin dan abangnya, Megat Rosman

  • 5.00 pagi - berkumpul di petronas Simpang Pulai - Lojing (jln cameron)
  • 5.15 pagi - Bertolak ke cameron 
  • 6.15 pagi - Semayang di masjid Kampung Raja 
  • 6.30 pagi - Bertolak ke Mossy Forest (Pintu Masuk Gunung Irau)
  • 7.00 pagi - Mula Pendakian
  • 5.00 petang - Jangka tiba semula di Mossy Forest 
  • 6.00 petang - sembahyang dan makan malam
  • 7.30 malam - pulang

Cik en bergerak daripada Manjung pada jam 3.30 pagi. Cik en bersama sama anis perlu mengambil Hanis dan Kak Zulia di Tronoh dan seterusnya bergerak ke tempat berkumpul di Petronas Simpang Pulai - Loging pada jam 5 pagi. Sementara menunggu yang lain sempat juga kami selfie.hihihi..



Kami bergerak ke Cameron Highland pada pukul 5.30 pagi. Kami tiba di Masjid Kampung Raja lebih kurang 6.45 pagi tetapi terlalu ramai orang di masjid itu, so ubah plan ke Masjid Kayangan di Brinchang. Selesai solat subuh (walaupun dah lewat) terus melaporkan diri di Balai Polis. 


Selesai segala urusan di Brinchang kami perlu patah balik ke laluan masuk ke Mossy Forest. Cik en pun tak pernah tahu laluan masuk walaupun banyak kali datang ke Cameron Highland. Laluan ke pintu masuk Mossy Forest ini perlu melalui simpang berhadapan dengan Nova Highlands Resort and Residence seterunya melalui Blueberry Earth House dan Ladang Tea Boh. Perjalanan dari simpang masuk ke Mossy Forest lebih kurang 6.2 km. Boleh menaiki kereta sendiri tapi pastikan brek ok, kereta jangan lowered sangat takut tersangkut nanti sebab banyak lubang sepanjang perjalanan. Atau ada pilihan lain menaiki kenderaan yang disediakan. Kalau tidak salah, satu kepala RM25 untuk pergi balik. 



Kami sampai ke pintu masuk lebih kurang pukul 8 kerana sepanjang perjalan memang jem kerana jalannya yang sempit. Selesai park abang barney, cik en dan yang lain lain bersiap siap untuk memulakan pendakian. Cik en nak kongsikan suasana di kawasan park kereta.



Selasai bersiap, kami ke menuju ke pintu masuk dan terus melaporkan diri. Oleh kerana ramai sangat yang bergambar di signboard Mossy Forest, cik en hanya gunakan gambar di bawah yang diambil dari google. 


Kerana excited untuk mendaki, masing masing jadi terlupa untuk warming up atau stretching. Itulah kesilapan awal kami. Alamak....

Ok.. ok, hendak tahu tak cerita seterusnya? Kena tunggu entri seterusnya.. Nak kasi suspen pada semua pembaca cik en. hahaha.. Entri seterusnya korang akan boleh rasa mencabar atau tidak hiking di Gunung Irau. Tapi nak cerita sikit.. pssttt... seluar cik en terkoyak tau masa hiking. diam diam tau jangan beritahu orang lain. hahahha
2

Gunung Irau 2 : Checklist Barang Keperluan Sebelum Mendaki


Gunung Irau : Checklist Barang Keperluan Sebelum Mendaki | Masih dibawah mood Trip Gunung Irau, cik en nak kongsikan checklist keperluan asas sebelum hiking atau mendaki gunung atau bukit. Checklist ini cik en kongsi daripada checklist cik en ke Gunung Irau 7 Mei 2016 yang lepas. Sebelum ini cik en ada kongsi entri Gunung Irau : Prosedur Mendapatkan Permit Mendaki  dan untuk part kedua ini cik en kongsi yang ini pula. 

Checklist Barang Keperluan Sebelum Mendaki :
  1. Air sekurang - kurangnya 2 liter (atau boleh guna hydration bag)
  2. Kasut yang bersesuaian (kasut untuk hiking dan mendaki)
  3. Seluar dan baju bersesuaian (tidak mudah koyak dan serap peluh)
  4. Power bar/pisang/seangkatan untuk berikan tenaga
  5. Bawa pakaian ganti (satu dibawa semasa mendaki dan satu untuk selepas mendaki)
  6. Windbreaker 
  7. Trekking Pole / Tongkat (Kalau rasa lutut tidak kuat) 
  8. Lampu yang terang stanby dan bateri baru (Lampu suluh atau lampu dahi)
  9. Makanan (nasi sebaik baiknya untuk beri tenaga yang hilang semasa pendakian)
  10. Ubat ubatan (minyak panas, plaster luka, bandage dan lain lain)
  11. Dan lain lain yang dianggap perlu 
Windbreaker

Beg Hiking

Power Bar


Tongkat/Trekking Pole
Senarai semak di atas adalah keperluan asas, ada yang membawa cerek, khemah dan lain lain mengikut berapa lama mendaki atau balik hari. 

Tunggu entri akan datang mengenai pengalaman cik en dan geng menaiki Gunung Irau dengan badan dan baju melemuih dengan "coklat moist", seluar koyak, lebam, luka, dan banyak lagi suka duka trip‪ ini. 
4

Gunung Irau 1 : Prosedur Mendapatkan Permit Mendaki


Trip Gunung Irau : Prosedur Mendapatkan Permit Mendaki | Gunung Irau terletak di Cameron Highland yang terkenal dengan hutan yang berlumut. Pernah dengar Mossy Forest? Kat sinilah terletakknya Hutan Berlumut ini. Disebabkan sejuk la, menyebabkan hutan ini berlumut bukan sahaja pada pada batang pokok, pada tanah dan akar akar pokok juga tau. Tapi Trip Gunung Irau ini bukanlah dibuka sepanjang tahun, tapi dibuka pada masa masa tertentu. Jadi boleh rujuk pada Jabatan Perhutanan Negeri Pahang. Tapi untuk mendaki Gunung Irau ini perlu dapatkan permit. Permit dikeluarkan oleh pejabat daerah. Sebolehnya hantarlah permohonan paling lewat 2 minggu sebelum aktiviti mendaki. Jadi, cik en nak kongsi cara untuk mendapatkan permit mendaki Gunung Irau.

  • Buat surat permohonan yang bertajuk "Permohonan Permit Mendaki Gunung Irau" atau tajuk yang membawa maksud yang sama. Jangan lupa tarikh mendaki pula.
  • Sertakan senarai nama, no kad pengenalan dan orang yang boleh dihubungi/waris (Nama dan no telefon)
  • Satu permit untuk satu pendaki
  • Harga RM5.00 perpermit
  • Bayar menggunakan wang pos. Contoh jika pergi 11 orang, jumlah permit RM55.00 jadi beli wang pos di Pejabat Pos dengan nilai RM55.00
  • Surat, senarai nama dan wang pos perlu dihantar ke Pejabat Perhutanan Daerah Raub dan Cameron Highland
  • Selepas sehari dua bolehlah telefon untuk bertanya permohonan yang dihantar
  • Selalunya dalam masa seminggu, Pejabat Perhutanan Daerah Raub dan Cameron Highland akan membalas surat permohonan dan akan sertakan permit mendaki.




Segala pertanyaan dan penghantaraan surat permohonan mendaki bolehlah hubungi :

Pejabat Perhutanan Daerah
Raub dan Cameron Highland
Rotan Tunggal 
27600, Raub 
Pahang
09-3552755 (Telefon/Faks)

Tunggu entri cik en selepas ini mengenai Checklist barang keperluan untuk mendaki Gunung Irau dan Pengalaman mendaki Gunung Irau ye...
8