www.nurfuzie.com eintannurfuzie@gmail.com

 photo kkba copy.jpg

2014-05-03

Orang Islam dalam MH370 tergolong sebagai Syahid Akhirat


Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 25 Mac 2014 telah membincangkan mengenai Tragedi MH370. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:

Setelah mendengar dan meneliti tiga (3) kertas kerja yang telah disediakan mengenai penentuan hukum syarak dalam tragedi MH370, dan setelah berbincang serta meneliti semua pandangan ulama’ serta pandangan ahli-ahli pakar pelbagai bidang sejak daripada tragedi ini berlaku pada 8 Mac 2014 hinggalah kepada pengumuman YAB Perdana Menteri Malaysia pada 24 Mac 2014 bahawa pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 disahkan berakhir di tengah-tengah Lautan Hindi di kawasan barat Perth Australia, Muzakarah menegaskan bahawa pensabitan kematian seseorang mempunyai kesan dan implikasi yang besar dari perspektif syarak. Justeru dalam Islam terdapat kaedah-kaedah yang telah digariskan bagi menangani permasalahan mereka yang tidak diketahui samada masih hidup atau sudah mati, dan dalam Fiqh kes seperti ini dikenali sebagai Mafqud (orang yang hilang).

Muzakarah menjelaskan bahawa berdasarkan pandangan as-Syafie “Mafqud ialah orang yang tidak didengari khabarnya, dan barangkali kemungkinan besarnya dia telah mati”. (Al-Syafie, Al-Umm, 6:182). Para ulama memperincikan bahawa mafqud dibahagikan kepada dua bahagian dan hukum kedua-duanya adalah berbeza. Pertama: Mafqud yang secara zahir dan kebarangkalian kuatnya dianggap telah terkorban. Mafqud bahagian ini ialah orang yang hilang dalam suatu bencana kebinasaan. (Ibn Qudamah, Al-Mughni, 6:389). Kedua: Mafqud yang secara zahir dia masih hidup. Contohnya seseorang yang keluar dari rumahnya untuk berniaga atau melancong tetapi tidak kembali pulang ke rumahnya.

Daripada contoh mafqud yang dibawakan oleh Ibn Qudamah, Muzakarah berpandangan bahawa dalam kes pesawat MH370 yang berakhir dalam lautan yang amat luas dan dalam, mayat-mayat dan bangkai pesawat menghadapi kesukaran untuk ditemui, dan pandangan pakar mengatakan bahawa survival manusia untuk hidup adalah tipis, maka kes ini bolehlah dikategorikan sebagai Mafqud yang secara zahir dan kebarangkalian kuatnya dia dianggap telah terkorban.

Muzakarah juga menjelaskan bahawa mengenai kadar tempoh mafqud sebelum diputuskan status kematiannya, tidak terdapat nas yang jelas daripada dalil-dalil Quran dan Sunnah berkenaan penetapan tempoh-tempoh tertentu secara tetap. Kebanyakan pendapat yang dinukilkan adalah bersumberkan kepada pendapat-pendapat para sahabat dan pendapat-pendapat tersebut bukan dalam bentuk kesepakatan yang boleh dinilai sebagai hujah ijmak, kerana wujud perselisihan dalam kalangan sahabat dan tabi’en. Namun keperluan kepada tempoh pencarian bagi mafqud adalah disepakati oleh para ulama’.

Muzakarah juga berpendapat bahawa perbezaan yang ketara dari segi uruf dan masa perlu diambilkira dalam penentuan tempoh mafqud ini kerana ia memberi kesan dalam pengsabitan hukum-hakam seterusnya.

Dalam hal ini, Muzakarah memutuskan bahawa dalam tragedi MH370 ini, keperluan menetapkan tempoh mafqud adalah terletak kepada pertimbangan ulil amri berdasarkan kepada ijtihadnya selaras dengan pandangan majoriti ulama, termasuk mazhab Syafie, mazhab Maliki, mazhab Hanafi dan satu riwayat mazhab Hanbali. (Nihayah al-Muhtaj, 6:28; Hasyiyah al-Dusuki, 4:434; Hasyiyah Ibn Abidin, 3:332; Al-Kasysyaf, 4:391).

Justeru, berasaskan kepada Kaedah Fiqhiyyah iaitu ‘Menghilangkan Kemudaratan’, lima (5) prinsip Maqasid Syar'iyyah iaitu menjaga agama, nyawa, harta, keturunan dan akal serta berasaskan kepada Siyasah Syariyyah dalam menjaga kemaslahahatan keluarga dan pihak-pihak yang terlibat serta bersesuaian dengan uruf dan waqi’, Muzakarah memutuskan bahawa keadaan mafqud dalam tragedi ini tidak memerlukan kadar tempoh tertentu kerana usaha-usaha pencarian yang telah dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh walaupun dalam keadaan lautan yang amat mencabar serta qarinah-qarinah yang boleh diambilkira sebelum dan selepas pengumuman Kerajaan bahawa pesawat MH370 berakhir di tengah-tengah Lautan Hindi, telah melalui tempoh munasabah bagi mafqud yang boleh diputuskan oleh Ulil Amri.

Sehubungan itu berdasarkan semua keterangan dan hujah-hujah yang dinyatakan tersebut, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa semua penumpang pesawat MH 370 adalah dikategorikan sebagai “Mafqud yang secara zahir dan kebarangkalian kuatnya telah dianggap terkorban”.

Oleh itu, memandangkan usaha-usaha mencari telah dijalankan dalam tempoh yang munasabah bagi mafqud dengan penggunaan pelbagai aset dan alat komunikasi berteknologi tinggi serta kewujudan qarinah-qarinah yang boleh diambilkira, maka Muzakarah berpendapat bahawa penumpang pesawat MH370 tersebut boleh dianggap telah terkorban. Walau bagaimanapun pengesahan atau pensabitan kematian hendaklah diputuskan oleh Mahkamah berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.

Muzakarah juga berpandangan bahawa memandangkan pihak berkuasa masih terus mencari kesan daripada tragedi tersebut termasuk mayat atau cebisan mayat penumpang yang terkorban, maka Solat Jenazah Ghaib tidak perlu dilaksanakan lagi.

Muzakarah juga memutuskan bahawa jika dalam usaha pencarian kesan daripada tragedi tersebut, pihak berkuasa berjaya menemui mayat atau cebisan mayat, maka wajiblah diuruskan mayat tersebut seperti yang ditetapkan oleh Islam.

Oleh kerana penumpang MH370 ini terdiri daripada berbagai agama dan jika tidak dapat dibezakan antara Islam dan bukan Islam, maka untuk menguruskan mayat orang Islam dalam keadaan bercampur ini, hendaklah diuruskan kesemua mayat yang dijumpai tersebut mengikut Islam dan sewaktu Solat Jenazah hendaklah diniatkan hanya untuk orang Islam sahaja.

Jika yang ditemui itu hanya cebisan-cebisan atau sebahagian anggota kecil sahaja, maka hendaklah dikumpulkan semuanya dan diuruskan mengikut Islam dan ketika Solat Jenazah hendaklah diniatkan untuk orang-orang Islam sahaja.

Mengenai hal-hal berkaitan pengagihan harta pusaka, pembubaran status perkahwinan mangsa, atau hukum-hukum lain yang bersangkutan daripada tragedi ini, Muzakarah menegaskan bahawa ianya hendaklah dirujuk kepada pihak berkuasa berkaitan berasaskan peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan setelah pengesahan atau pensabitan kematian diputuskan oleh mahkamah.

Muzakarah juga berpandangan bahawa dalam menghadapi suasana tragedi ini, pelaksanaan ibadah-ibadah seperti Solat Hajat, bacaan Yasin dan sebagainya bolehlah diteruskan oleh umat Islam.

Muzakarah juga memutuskan bahawa orang-orang Islam yang disabitkan kematiannya dalam tragedi MH370 ini adalah tergolong sebagai Syahid Akhirat berasaskan kepada hadis Nabi s.a.w. yang menyebutkan bahawa mati kerana tenggelam termasuk dalam salah satu kategori Syahid Akhirat. 

4 comments:

::EIDA:: said... [Reply]

Al-Fatihah

Anonymous said... [Reply]

Does it appear to refer to a person or an occasion? It could be the loss of life of someone
close to someone you know, such as a friend or co-employee.
They will require to be powerful to resist the pull of this kind of a person.

Also visit my web site; AskNow Reviews; ,

Wak Gelas said... [Reply]

dh 3 bulan kanns.,

Pondok Usang said... [Reply]

Salam Ramadhan.. syukur masih diberi peluang...

Followers

About

For Advertorial, Collaborations and Review. Please Contact eintannurfuzie@gmail.com.

Get widget

Blog Archive

Labels

Jom Buat Mobile App

 photo iklan_blog3_small.png

Ads